Edward Norton masih turun naik tren untuk bertukar destinasi dan memberi gambaran bahawa dia akan mengalami sakit jantung jika tidak berbuat demikian.
Ia satu pernyataan merendah diri dan selesa dengan rutin kehidupan lampaunya. Anak kepada guru bahasa Inggeris dan peguam alam sekitar ini masih berpijak di bumi nyata walau mungkin wangnya sudah mampu membuatkan dia lupa akan dunia.
Dia digambarkan memiliki bakat yang unik yakni mampu berubah kepada sesuatu yang luar biasa.
Itulah kriteria yang menjadikan seorang Edward Norton berubah menjadi Bruce Banner dan kemudian bertukar hijau menjadi seorang Hulk! Dialah hero yang memiliki kualiti pemikiran dan kejujuran emosi yang tinggi.
Edward Norton, 39, yang mesra dikenali sebagai Ed memiliki segalanya untuk bergelar hero dan dia kekal menjaga imejnya dengan bersih dan dikenali melalui kerjayanya yang mengagumkan.
Cuma kebelakangan ini portfolionya tercemar akibat filem yang menggambarkan dia sebagai hero berwarna hijau, The Incredible Hulk.
Bertukar besar bila marah
Ed sememangnya peminat komik The Incredible Hulk dan merupakan pengikut setia perkembangan hero bertubuh besar dan hijau tersebut.
Jadi pastinya dia tergamam tatkala diserahkan watak Bruce Banner, lelaki yang bertukar menjadi besar apabila marah.
Ed menerima karakter besar ini dan membuatkan dirinya berada dalam kajian Hulk selama tiga bulan. Bukan itu sahaja, Ed turut bertindak sebagai salah seorang penulis skrip yang membayangkan Hulk dalam versi visual baru.
Karakter hero sudah di tangan dan itu pasti, tetapi dia terlepas satu status lagi apabila berbalah dan berbeza idea dengan pihak penerbit komik Marvel.
Nama Ed nyata dibuang sebagai penulis skrip filem tersebut. Yang tinggal nama tunggal – Zak Penn yang pada awalnya mengalami stres untuk menyiapkan skrip filem yang ditunggu-tunggu ini.
Sekadar menunjukkan rasa marahnya, dia sengaja tidak menghadiri promosi awal filem terbarunya ini. Bak kata penulis komik siri The Incredible Hulk sebelum ini: “Bruce Banner adalah lelaki yang dalam pelarian dan berubah menjadi Hulk kerana marah.
“Ia seakan satu metafora bagi satu kehidupan nyata. Bagi yang mengalami ‘kesakitan’ dalaman yang anda simpan di dalam dan kemudiannya meletup keluar dari diri anda.”
Dan nampaknya badi Hulk melekat dengan peribadi Ed. Dia ‘meletup’ apabila kredibiliti dan percubaannya memberi idea tentang Hulk ditentang.
Namun pengarah filem ini, Louis Letterier menyifatkan bahawa peranan wartawanlah yang menyebabkan masalah Ed dan Marvel menjadi besar.
Dan Liv Tyler yang menjadi kekasih Ed dalam filem bajet besar ini bersetuju untuk bercakap bagi pihak ‘kekasihnya’.
Katanya, puncanya ialah apabila Ed tidak bersetuju dengan cara edit Marvel mahu memaparkan teaser awal filem ini. Ed kemudian muncul dengan satu kenyataan bahawa setiap promosi filem tidak perlu ditonjolkan pendedahan yang terlalu banyak kerana ia akan menghilangkan magis filem itu.
Namun segalanya sudah terurai apabila Ed muncul pada tayangan premier filem ini di Universal Studio, Hollywood. Nampaknya, ‘Hulk’ boleh sejuk hatinya.
Cinta dalam hati
Dia digambarkan sebagai seorang yang pemalu media. Perasaan cintanya hanya dua kali digembar-gemburkan secara besar-besaran. Terhadap penyanyi yang pernah mengahwini Kurt Cobain, si Courtney Love dan pelakon berbadan seksi dan menggiurkan, Salma Hayek.
Selepas itu, cinta dan ceritanya senyap kerana dia lebih selesa mengetengahkan apa yang sedang dilakonkan.
Siapalah agaknya yang tidak jatuh hati tatkala melihat gagahnya Ed melakonkan watak Derek Vinyard dalam American History X dan setianya sang pria ini terhadap kekasihnya dalam The Incredible Hulk.
Malah Love pernah berkata dia agak menyesal kerana tidak mengahwini Ed. “Meninggalkan Ed yang merupakan seorang lelaki yang baik dan menawan adalah sesuatu yang merugikan,” jelas Love yang pernah dirayu Ed untuk memasuki pusat pemulihan.
Namun ceritera cintanya terus disimpan hingga akhirnya dia selesa memilih seorang yang berada di balik layar. Gadis yang bernama Shauna Robertson yang merupakan produser filem adalah anak kelahiran Kanada.
Pasangan ini bertemu dan bercinta sejak tahun 1996 hingga kini. Mereka bercinta dengan tenang dan mempunyai pemahaman yang sama tentang dunia mereka – dunia cinta dan filem.
Aktivis alam sekitar
Hijau membawa makna besar dalam kehidupan lelaki ini. Yang dilihat dunia adalah pertukaran fizikal hijau ketika berubah menjadi Hulk dan yang dibuatnya untuk dunia adalah menjaga kehijauan alam ini.
Ed adalah penyokong kuat untuk penjagaan alam sekitar serta menyertai projek solar. Dia mengeluarkan banyak tenaga dan wang untuk aktiviti sosial yang termasuk meningkatkan kualiti kehidupan komuniti berpendapatan rendah.
Bagi menunjukkan kesungguhannya memulihara alam serta mewarisi kesedaran yang ada dalam diri bapanya, Ed muncul dalam rancangan Strange Days on Planet Earth, sebuah rancangan oleh National Geographic.
Ed malah menjadi narator rancangan tersebut yang menyentuh perihal penangkapan ikan yang mampu memberi kesan kepada pemanasan global dan pupusnya kehidupan di rimba.
Pesannya dalam nada yang tegas: “Orang sentiasa bertanya apakah yang dapat mereka buat untuk membantu. Saya katakan mulakan dengan menghentikan pengunaan beg plastik.
“Beg plastik merupakan benda paling bodoh yang wujud dan mengganggu kehidupan alam.”
Kosmo