Archive for the ‘Slumdog Millionaire’ Category

Freida Pinto Putus Tunang

February 15, 2009


Freida Pinto

Aktres ‘Slumdog Millionaire’ anggap Rohan tak layak jadi teman

MUMBAI: Aktres Slumdog Millionaire, Freida Pinto meninggalkan tunangnya kerana mabuk dengan kemasyhuran ketika ini, akhbar News of The World mendedahkan.

Freida, 24, memberitahu ejen perhubungan awam di bandar ini, Rohan Antao, beliau tidak dapat bersama lagi dan menjadi aktres terkenal dunia pada masa sama.

Beliau merahsiakan hubungan dengan Rohan, kekasihnya sejak di universiti ketika kemunculannya sehingga berjaya mencipta nama dalam lakonan.

Rohan kini bersembunyi sejak Freida memberitahunya hubungan mereka sudah putus namun rakan berkata beliau amat ‘kecewa’ kerana kehilangan gadis yang bakal dikahwininya.

Seorang rakan rapat berkata: “Ia adalah masa yang sukar untuknya. Satu minit mereka akan berkahwin, kemudian ia sudah berakhir.”

Pasangan itu bertemu di Kolej St Xavier di sini iaitu tempat Freida mengambil kursus bahasa Inggeris, sementara Rohan mengikuti kursus kimia. Rakan berkata: “Mereka benar-benar dilamun cinta.”

Rohan kemudian menjadi ketua firma perhubungan awam kecil dan tahun lalu melamar ketika Freida sedang berlakon dalam filem dicalonkan Oscar bersama pengarah Britain, Danny Boyle.

Aktres itu menyiarkan gambar parti pertunangannya dalam laman Facebook namun kini ia sudah dibuang.

Sejak dua bulan lalu, Freida mengikuti promosi Slumdog Millionaire di seluruh United Kingdom dan Amerika Syarikat yang menyebabkan hubungan mereka tegang.

Rakan berkata: “Freida menyedari beliau dianugerahkan peluang yang menakjubkan namun tidak dapat melakukannya jika terikat. Beliau tahu perlu meletakkan kerjaya dalam lakonan terlebih dulu buat masa sekarang.

“Beliau dan Rohan bercakap menerusi telefon mencari jalan penyelesaian – namun keadaannya kini sudah berubah menyebabkan hubungan mereka tidak ke mana.” – Agensi

Berita Harian

Pinto Mengejutkan Bollywood

February 14, 2009

Susunan Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com

Kemunculannya dalam filem Slumdog Millionaire membuka mata banyak pihak daripada penerbit, pengarah dan pelakon ternama di Mumbai

SETAHUN yang lalu, mungkin namanya begitu asing pada dunia perfileman antarabangsa.

Siapalah yang mengenali wanita bernama Freida Pinto, kecuali bagi peminat yang peka pada dunia peragaan. Maklum saja, ketika itu namanya sungguh kecil jika hendak dibandingkan dengan Aishwarya Rai, Kareena Kapoor, Rani Mukherjee atau Preity Zinta.

Namun hari ini, rata-rata pemerhati filem memperkatakan mengenai kemunculan si cantik dari Mumbai, India itu. Sejak beberapa bulan lalu, wajahnya sering kali terpampang di dada akhbar dan majalah, ketika melintasi pelbagai majlis anugerah.

Penampilannya yang pertama dalam filem hangat menjadi topik perbualan masa kini, Slumdog Millionaire, bukan hanya menjadikan dirinya aktres paling hebat diperkatakan di Bollywood, malah dia tentunya antara insan paling gembira apabila anugerah demi anugerah diterima filem berkenaan sejak tahun lalu.

Sehingga artikel ini ditulis, sudah 18 trofi Filem Terbaik sudah pun menjadi milik Slumdog Millionaire, termasuk pada Anugerah Akademi Filem British (Bafta) 2009 yang baru saja berlangsung 8 Februari lalu.


GAYA menarik pelakon wanita kelahiran Mumbai ini ketika menghadiri Anugerah Gaya Elle 2009.

Pada 23 Februari nanti, tentunya dunia tertunggu-tunggu, apakah filem drama ini sekali lagi dinobat Filem Terbaik pada Anugerah Academy.

Pinto sendiri yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita pada anugerah Bafta ke-62 terkena tempias kehebatan filem berkenaan.

Malahan pada Isnin lalu, dia dipilih sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Gaya Elle 2009 di London.

Apabila nama mula dikenali, tentulah gandingannya dalam filem berikutnya pun pasti terdiri daripada pelakon ternama juga. Freida turut mempunyai senarai impiannya sendiri apabila berbicara mengenai pelakon lelaki yang ingin didampingi dalam filem.

Pada majlis Elle berkenaan, Pinto mendedahkan betapa dia mengimpikan untuk berlakon di samping bintang terkenal Leonardo DiCaprio dan Johnny Depp.

Katanya juga, peluang beraksi di sisi aktor hebat Jack Nicholson pula tidak mungkin dilepaskan begitu saja seandainya rezeki seperti itu tiba ke riba suatu hari nanti.

“Jack Nicholson ialah seorang pelakon yang sentiasa saya idamkan untuk berlakon bersama. Dia seorang aktor yang mempunyai karakter cukup menarik,” ujar artis berusia 24 tahun ini.

Pinto juga tidak mahu mendabik dada walaupun filem arahan Danny Boyle (yang kini sudah mengumpul 19 trofi termasuk Pengarah Terbaik) yang dibintanginya itu dikatakan pencabar terkuat untuk merebut Oscar nanti.

Pada anugerah itu, antara lain filem Slumdog Millionaire akan bersaing dengan dua filem lakonan Pelakon Wanita Terbaik Bafta 2009, Kate Winslet, iaitu The Reader dan Revolutionary Road bagi kategori Filem Terbaik.

Katanya, Winslet ialah pelakon yang dipuja olehnya kerana bakat besar milik aktres terbabit.

“Pastinya saya akan dapat belajar banyak benda apabila dapat berlakon di sampingnya. Dia bintang yang begitu hebat. Kita sendiri pun sudah banyak bergelak ketawa dan berduka tatkala mengikuti menonton lakonannya selama ini.

“Jadi, peluang beraksi di sampingnya tentulah satu peluang yang cukup memberi makna,” katanya.

Menurut Pinto, dia banyak menerima tawaran berlakon selepas kejayaan filem terbabit, namun dia masih lagi terkejut dengan sambutan luar biasa yang diberikan penonton di tanah air sendiri.

Katanya, semua orang bagaikan gila terhadap filem itu kerana ia mendapat pungutan yang cukup tinggi di seluruh dunia, pencapaian yang jarang sekali berlaku di India.

Info:

SLUMDOG MILLIONAIRE menyaksikan Pinto berlakon sebagai gadis yatim berusia 18 tahun, Latika, yang menemui dua saudara lelaki baru, Jamal dan Salim. Bersama-sama, mereka memulakan perjalanan hidup yang penuh suka dan duka. Malangnya, langkah hidupnya tersasar ke arah onak penuh bahaya dan matlamatnya kini adalah untuk menyatukan dirinya dengan seseorang paling dicintai.

Pinto dipanggil oleh pengarah lakonan yang juga pengarah bersama Slumdog Millionaire, Loveleen Tandon, untuk hadir uji bakat filem berkenaan. Proses itu diikuti oleh sesi uji bakat berbulan-bulan bersama pengarah Danny Boyle. Hanya selepas proses yang dianggapnya menyeronokkan tetapi memeritkan itu, dia akhirnya ditawarkan watak Latika.

SEJAK zaman persekolahan, Pinto aktif membabitkan diri dalam semua kegiatan drama. Dia juga menjadi peragawati selama dua tahun lebih bersama ejen model Elite Model Management India. Selepas mendapat peranan dalam filem terbabit, dia belajar hampir kesemua perkara yang dimahukan daripada pengarah filem itu sendiri. Selepas penggambaran dilakukan, dia tertarik untuk menyertai sekolah lakonan untuk mendapatkan pengalaman. Lalu, dia menghadiri bengkel lakonan dikendalikan guru lakon, Barry John.

MENGINGATI rakaman pertama membabitkannya, Pinto berkata, ia dilakukan pada November 2007 dan kerana terlalu risau, dia tidak dapat melelapkan mata pada malam sebelum penggambaran bermula.

SEPANJANG pembabitannya dalam filem itu, Pinto mula menyedari, industri perfileman adalah untuk mereka yang tidak putus asa berjuang serta mereka yang kuat semangat. paling utama, katanya, seseorang itu mesti percaya pada diri sendiri. Walaupun beratus orang lain menolaknya, dia tidak putus asa dan akhirnya, seorang daripada pengarah terbaik dunia mempercayai bakat dimilikinya.

DI Bollywood, pelakon yang disukainya ialah Tabu. Dia turut menggemari karya Konkona Sen Sharma. Madhuri Dixit pula baginya lambang kepelbagaian bakat, manakala Smita Patil dan Shabana Azmi pula pelakon yang menakjubkan. Dia juga mengagumi Aamir Khan. Pelakon barat yang paling dihormatinya pula ialah Meryl Streep.

Info Freida Pinto:

Tarikh Lahir: 18 Oktober 1984

Bintang: Libra

Asal: Mumbai, India

Filem: Slumdog Millionaire

Program TV: Full Circle

Iklan: India Today, Wrigleys Chewing Gum, Skoda, Hutch, Airtel, De Beers

Berita Harian

Populariti Sepantas Kilat

February 14, 2009

Susunan Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap

BERMULA sebagai model di tanah kelahirannya, Mumbai, India kini nama Freida Pinto mula menjadi tumpuan dunia. Populariti yang diraihnya datang sekelip mata hanya kerana filem sulung lakonannya, Slumdog Millionaire.

Filem arahan pengarah terkenal, Danny Boyle itu bukan saja memberi impak besar apabila ditayangkan di Amerika Syarikat akhir tahun lalu, malah mencatat kejayaan besar di festival filem dan majlis anugerah.

Filem sulungnya itu membawa Freida mengembara dari satu festival ke satu festival. Antaranya Festival Filem Antarabangsa Palm Springs, Anugerah Pilihan Pengkritik, Anugerah Golden Globe dan Anugerah British Academy Of Film & Television Arts (BAFTA) di London.

Sehingga kini, Slumdog Millionaire menang lima anugerah Pilihan Pengkritik, empat Golden Globes dan tujuh di BAFTA. Malah kejayaan filem ini untuk Filem Terbaik di Golden Globe ke-66 pada 12 Januari lalu membuatkan banyak pihak buka mata dengan hasil karya Danny Boyle ini.

Untuk Anugerah Academy ke-81 yang bakal berlangsung di Kodak Theatre, Los Angeles pada 23 Februari ini, Slumdog Millionaire menerima 10 pencalonan. Antaranya Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Adaptasi Terbaik, Skor Original Terbaik (AR Rahman) dan Lagu Original Terbaik (Jai Ho dan O Saaya).

Anak kedua pasangan Frederick dan Sylvia Pinto ini bertuah kerana bermula sebagai model di Mumbai terus berjaya memulakan kerjaya lakonan di Hollywood. Lebih membanggakan, Freida bekerja dengan pengarah terkenal, Boyle yang pernah menghasilkan filem Trainspotting dan The Beach Fame.

Turut menjayakan filem ini, Irrfan Khan, Anil Kapoor dan Mahesh Manjrekar. Watak dijayakan Anil pada mulanya ditawarkan kepada Shah Rukh Khan tetapi ditolak bintang terkenal Bollywood itu.

Freida mengakui, populariti yang diraihnya datang sepantas kilat malah tidak pernah menyangka semua itu akan hadir dalam hidupnya.

Katanya, selepas tamat pengajian di Kolej St Xavier, Mumbai, dia menjadi model selama dua tahun.

Pada waktu sama dia bercita-cita menjadi pelakon dan cuba menghadiri uji bakat untuk mencari peluang berlakon filem. Katanya, minat dalam dunia lakonan datang secara semula jadi kerana tinggal di kota yang menjadi tumpuan bintang Bollywood.

“Selepas enam bulan menghadiri satu demi satu uji bakat, suatu hari saya menerima panggilan telefon meminta hadir untuk uji bakat filem Slumdog Millionaire. Ketika itu saya sekadar ingin mencuba sebagaimana percubaan sebelum ini dan tidak berharap untuk diterima.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila nama saya berada dalam senarai pendek dan akhirnya dipilih. Ibu bapa saya turut memberi galakan kerana mereka tahu saya memang bercita-cita menjadi pelakon. Kakak saya yang bekerja dengan syarikat media juga banyak menyokong dan membantu saya,” katanya.

Pengalaman menjayakan Slumdog Millionaire disifatkannya sebagai satu pengalaman dan pendedahan yang cukup besar. Malah digandingkan dengan pelakon baru, Dev Patel membuatkan mereka berdua bersemangat dan saling membantu kerana sedar masing-masing tiada pengalaman.

“Berlakon dalam Slumdog Millionaire membawa saya ke satu tahap kerja yang cukup tinggi dan memberi pendedahan yang cukup besar. Ia juga satu pengalaman yang menakjubkan.

“Apa yang boleh saya katakan ialah bekerja dengan Danny Boyle umpama menghadiri kelas lakonan di sekolah terbaik di dunia. Apabila kami mula bekerja, dia beritahu saya kehidupan ini tidak selalunya sama. Lakukan satu asas kukuh untuk dunia.

“Saya terharu dan sangat menghargai semua tumpuan yang diberikan tapi saya masih belajar menyesuaikan diri.

Sebenarnya saya seorang yang agak pemalu,” katanya.

Walaupun namanya kini dikenali di Hollywood, Freida tidak bercadang meninggalkan Mumbai untuk berpindah ke Hollywood dalam waktu terdekat ini.

Katanya, buat masa ini dia selesa berulang-alik Mumbai-Los Angeles dan tidak bercadang berpindah kerana mempunyai ejen yang bagus.

Selepas Slumdog Millionaire, kata Freida, dia mahu mencuba sesuatu yang baru kerana suka melakukan sesuatu berbeza untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman. Katanya, dia juga berpeluang belajar pelbagai bentuk tarian klasik India dan salsa.

“Saya tidak kisah berlakon apa pun tetapi saya lihat filem komedi agak berbeza dan ingin mencubanya. Itulah sebabnya saya memilih untuk menyertai bengkel lakonan bersama sifu teater, Barry John supaya dapat mendalami skil lakonan.

“Saya juga berharap diberi peluang bekerja dengan bintang legenda Hollywood, Clint Eastwood. Saya sangat teruja apabila berjumpa dengannya ketika menghadiri festival Palm Springs.

“Saya masih ingat lagi ketika menonton filem Million Dollar Baby arahannya, saya pernah berkata mahu berjumpa dengan Clint Eastwood. Ternyata akhirnya saya berpeluang bertemu dengannya tapi ketika itu lidah saya kelu untuk berkata-kata,” katanya.

Dalam limpahan populariti, Freida juga menerima kritikan mengenai penampilannya ketika menghadiri Anugerah Golden Globe. Penampilannya dengan gaun mendedahkan dada warna kuning ketika acara permaidani merah dikatakan tidak sesuai dengan majlis. Kata Freida, dia terima kritikan yang diberikan dengan hati terbuka.

“Ketika itu saya rasa ia satu pilihan yang tepat. Sudah tentu saya akan lebih berhati-hati pada masa akan datang,” katanya.

Slumdog Millionaire mengisahkan budak lelaki dari luar bandar, Jamal lakonan Dev Patel, muncul dalam program game show hingga menjadi tumpuan ramai termasuk gadis remaja. Freida menjadi Latika, gadis yang berjaya menawan hati Jamal. Semua babak membabitkan Freida dilakukan di Mumbai dan babak lain di Delhi dan Agra.

Freida dicalonkan Aktres Pembantu Terbaik di Bafta dan menang di Anugerah Screen Actors Guild (SAG) bersama barisan pelakon lainnya. Namanya juga diumumkan memenangi Aktres Terbaik di Elle Style Awards di London, baru-baru ini.

PROFIL

Nama sebenar: Freida Pinto

Tarikh lahir: 18 Oktober 1984

Tempat lahir: Mumbai, Maharashtra, India

Bintang: Libra

Kerjaya: Model, pelakon

Bapa: Frederick Pinto

Ibu: Sylvia Pinto

Adik beradik: Anak kedua daripada dua beradik’

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Sastera (Inggeris) dari Kolej St. Xavier, Mumbai

Harian Metro

Stone Wanita Penggoda

February 13, 2009


SHARON STONE dikatakan cuba menggoda Dev.

SHARON STONE dilaporkan menggoda pelakon utama Slumdog Millionaire, Dev Patel pada majlis Anugerah British Academy of Film and Television Arts (BAFTA) baru-baru ini.

Mirror.co.uk melaporkan Patel sebagai berkata: “Sharon sangat hebat. Dia asyik menggoda saya sepanjang malam. Dia mengekori saya pada mulanya. Sharon Stone! Percayakah anda?”

Ketika kedua-duanya muncul pada parti yang diadakan sejurus berlangsung majlis anugerah itu, Stone datang berbisik kepada Patel: “Saya rasa kamu sangat hebat dalam Slumdog Millionaire.”


DEV PATEL dan aktres India, Freida Pinto.

Patel yang terperanjat sekadar membalasnya dengan berkata: “Terima kasih!”

Seorang saksi menyifatkan Dev terlalu muda bukan sahaja untuk menjadi kekasih Sharon, tetapi juga untuk menjadi anaknya.

“Malah untuk menjadi cucu kepada Sharon juga dia terlalu muda. Namun, itu tidak menghalang Sharon untuk menggoda Dev.”

Kosmo

Lima Filem Berentap

February 13, 2009

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap
MAJLIS gemilang Anugerah Academy sememangnya ditunggu-tunggu penggiat filem Hollywood kerana trofi dinamakan Oscar itu memberi pengiktirafan tertinggi kepada hasil kerja mereka di layar perak.

Tahun ini Anugerah Academy ke-81 yang bakal berlangsung di Kodak Theatre, Los Angeles pada 23 Februari menyaksikan lima filem, The Curious Case Of Benjamin Button, Frost/Nixon, Milk, The Reader dan Slumdog Millionaire berentap untuk kategori Filem Terbaik.

Bintang utama filem ini juga turut dicalonkan untuk Pengarah Terbaik serta Aktor dan Aktres Terbaik dan Aktor/Aktres Pembantu Terbaik. Calon Pengarah Terbaik dibarisi David Fincher (The Curious Case Of Benjamin Button), Ron Howard (Frost/Nixon), Gus Van Sant (Milk), Stephen Daldry (The Reader) dan Danny Boyle (Slumdog Millionaire).

Sebagai menyemarakkan lagi majlis ini, ntv7 turut menyediakan tiga filem menarik yang dicalonkan di Anugerah Academy, Dragon Heart, Mighty Joe Young dan The Recruit. Filem ini disiarkan setiap Sabtu, jam 10 malam bermula 7 Februari lalu.

Dragon Heart yang dicalonkan untuk Kesan Visual Terbaik disiarkan Sabtu lalu dan esok (14 Februari), giliran Mighty Joe Young yang juga dicalonkan Kesan Visual Terbaik diikuti The Recruit lakonan hebat Al Pacino dan Colin Farrell pada 21 Februari.

Mighty Joe Young, karya Disney dan diarahkan Ron Underwood, dihasilkan berdasarkan filem hitam putih pada 1949 dengan tajuk sama. Filem ini dibintangi Bill Paxton dan Charlize Theron serta mengisahkan gorila besar, mempunyai sifat penyayang dan melindungi.

Di hutan tempat tinggalnya, dia menjaga dan melindungi kanak-kanak perempuan yatim yang kemudian membawanya ke Los Angeles untuk menyelamatkannya daripada pemburu kejam. Tiba di sana, keadaan berlaku sebaliknya apabila seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab mempergunakannya untuk meraih keuntungan, lantas gorila itu bertindak di luar kawalan.

The Recruit pula filem thriller penyiasatan dibintangi Colin Farrell, Al Pacino dan Bridget Moynahan. Filem dihasilkan pada 2003 ini mengisahkan kerjaya anggota CIA yang baru menamatkan latihan di MIT.

Dalam era sebuah negara yang mengutamakan aspek pertahanan, kebijaksanaan perkara terpenting dan mengatasi segala-galanya. Filem ini menceritakan kehidupan ejen CIA yang memberi peluang kepada ahlinya di agensi terbabit.

Bagaimanapun, pelatih yang dilatih, James Clayton (Colin Farrell) mungkin tidak mempunyai ciri-ciri sebagai pelatih CIA tetapi anak muda yang bijak dan satu-satunya pelatih yang diperlukan Walter Burke (Al Pacino) di agensi itu.

James memilih untuk menjalankan misi CIA yang memberi cabaran kepadanya berbanding kehidupan biasanya. Sebelum menjadi pegawai atasan, James terpaksa menjalani satu latihan rahsia untuk menjadi pelatih matang dan cekap.

Burke mengajarnya selok-belok dan peraturan sebagai pengintip. James dengan cepatnya menyerlah sebagai pelatih dan jatuh hati terhadap Layla (Bridget Moynahan), rakan pelatihnya di agensi. Apabila James mula menyoal peranannya dan hubungan yang keruh dengan mentornya, Burke mencabarnya dengan satu tugasan pengintipan khas.

Selepas The Recruit, majlis gemilang Anugerah Academy ke-81 berlangsung 23 Februari tetapi ntv7 menyiarkan kemuncak penyampaian Oscar pada 27 Februari, jam 10 pagi. Bagi mereka yang terlepas peluang itu, siaran ulangannya ialah pada 28 Februari, jam 10 malam.

Selain debaran majlis penyampaian Oscar, turut disiarkan acara permaidani merah untuk menyaksikan bintang terkenal dan popular Hollywood bergaya sambil berjalan dengan melambai kepada peminat.

Pelakon utama filem Australia, Hugh Jackman mengendalikan acara tahunan ini buat kali pertama. Pemilihan Jackman kerana sifat humor dan kredibilitinya sebagai penghibur yang berkebolehan serta mempunyai daya penarik dan elegan.

Sebelum ini antara yang diberi kepercayaan mengendalikan majlis yang menjadi tumpuan di seluruh dunia ialah Jon Stewart, Ellen Degeneres, Billy Crytal, Steve Martin, Chris Rock, Johnny Carson, David Letterman dan Whoopi Goldberg.

Harian Metro

“Slumdog Millionaire” Takes Seven Awards At BAFTAs

February 9, 2009

LONDON : “Slumdog Millionaire” swept the board at the British Academy Film Awards (BAFTAs) in London on Sunday, winning seven out of 11 awards.

The rags-to-riches story of a Mumbai tea boy took home the awards for best film, best director for Danny Boyle, best adapted screenplay for Simon Beaufoy as well as the music, cinematography, editing and sound prizes.

Sharing the best film award with the people of Mumbai, producer Christian Colson said: “Our amazing cast and crew in Mumbai realised the dream, with their blood and sweat and tears and love.”

“Slumdog Millionaire” actor Dev Patel who was nominated for leading actor, told reporters that instead of hoping to win an award, the main thing he wanted from the night was to meet actor Brad Pitt.

“I’m 18 years old and I’m at the BAFTAs!” said Petel, who still lives with his parents and sister in Harrow, north-west London.

The star-studded awards ceremony also saw Kate Winslet beat rivals Angelina Jolie, Kristin Scott Thomas and Meryl Streep to pick up the BAFTA for leading actress for her role as a former Nazi prison camp guard in “The Reader” while Mickey Rourke took the leading actor gong for “The Wrestler”.

As expected, the late Heath Ledger was awarded with a posthumous BAFTA for best supporting actor for his menacing performance in “The Dark Night”, while Penelope Cruz was named best supporting actress for her role in the Woody Allen’s romantic drama, “Vicky Cristina Barcelona”.

“The Curious Case of Benjamin Button” which was nominated for 11 awards, finished the night with just three trophies for best production design, make up and hair, and special visual effects.

Black comedy “In Bruges” won best original screenplay, while “I’ve Loved You So Long” was awarded for best non-English language film. James Marsh’s “Man on Wire’ won the BAFTA for outstanding British film.

The BAFTAs are seen by many as an indicator of who will win at the Oscars which is considered as the biggest honour in the film industry. All eyes will be on “Slumdog Millionaire” once again as it takes centre stage at the 81st Academy Awards at the Kodak Theater on February 22.

– CNA/km

Channel News Asia

Pelakon India Dibayar Murah?

February 4, 2009


DAVID BOYLE (kiri) bersama Rubina (depan, kiri) dan Azharuddin (depan, kanan) dan para pelakon Slumdog Millionaire pada majlis Anugerah Screen Guild 2009.

DI SEBALIK kejayaan filem Slumdog Millionaire meraih pelbagai anugerah berprestij dunia perfileman global termasuk 10 pencalonan Oscar pada tahun ini, kontroversi melanda apabila dua pelakon kanak-kanak filem itu khabarnya dibayar dengan jumlah yang terlalu kecil.

Apatah lagi kutipan filem arahan Danny Boyle itu kini mencecah AS$65 juta (RM247 juta). Saudara-mara dua pelakon India itu, Rubina Ali, 9, dan Azharuddin Mohammed Ismail, 10, yang melakonkan watak Latika dan Salim ketika kecil pada babak awal filem itu sebelum ini melahirkan perasaan tidak puas hati.

Mereka mendakwa penerbit filem itu, Fox Searchlight hanya membayar RM2,618 kepada Rubina dan Azharuddin pula dibayar RM8,902. Rubina dan Azharuddin menetap bersama keluarga masing-masing di kawasan setinggan di Bandra, Mumbai.

Jurucakap syarikat tersebut bagaimanapun menegaskan kedua-dua Rubina dan Azharuddin dibayar tiga kali ganda berbanding gaji orang dewasa di India. Syarikat itu juga menaja persekolahan serta menubuhkan dana bagi masa depan mereka.

Dalam pada itu, bapa Rubina, Rafiq Qureshi dilaporkan mengiakan kenyataan Fox Searchlight itu. “Mereka (Fox Searchlight) telah melakukan lebih daripada apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa terhadap anak-anaknya,” ujarnya kepada Contactmusic.

Kenyataan itu disokong oleh ibu Rubina, Munni Qureshi yang berkata: “Saya berasa sangat gembira anak perempuan saya kini telah menjadi terkenal.”

Kosmo

Penduduk Bantah Slumdog Millionaire

February 3, 2009

Dakwa tajuk filem dicalon untuk anugerah Oscar hina kehidupan setinggan daif Mumbai

MUMBAI: Berpuluh-puluh penghuni kawasan setinggan di bandar raya ini, lokasi sebahagian filem Slumdog Millionaire dirakamkan, mengadakan tunjuk perasaan membantah filem yang dicalonkan pada anugerah Oscar itu, memaki hamun dan membaling gambar pelakon dan krewnya dengan selipar.

Kejayaan filem itu pada peringkat antarabangsa dicemari bantahan di India berhubung tajuknya, yang dianggap sebahagian pen-duduk sebagai penghinaan, paparan mengenai kehidupan rakyat miskin negara itu dan layanan kepada pelakon.

Pengarahnya, Danny Boyle, berdepan tuduhan media India bahawa filemnya adalah “kelucahan kemiskinan”. Boyle berkata, beliau cuba memaparkan suasana keinginan untuk hidup di Mumbai. Filem berkenaan memperoleh beberapa anugerah antarabangsa dan dicalonkan untuk 10 kategori dalam Oscar, ditayangkan di India bulan lalu.

“Mereka memperolok-olokkan kita, melukakan sentimen kita,” kata pemimpin protes, N R Paul, yang penduduk di Dharavi, setinggan terbesar Asia.

Penunjuk perasaan, yang dipaksa polis berkumpul beberapa ratus meter dari Dharavi, melaungkan “Jatuh, jatuh Danny Boyle” dan “Jatuh, jatuh Lembaga Penapisan”.

“Penduduk setinggan adalah manusia, bukan anjing,” menurut satu poster.

Penunjuk perasaan juga menampar gambar Boyle dan pelakon filem itu dengan selipar, berkata paparan mengenai kemiskinan merendahkan maruah berjuta penghuni setinggan.

Aktivis sosial, Nicholas Almeida, yang memfailkan aduan di mahkamah terhadap tajuk filem itu, berkata pengarah juga bertanggungjawab terhadap setinggan yang menjadi lokasi rakaman.

“Mereka membuat jutaan dolar, mengapa tidak berikan sedikit kepada kami untuk memperbaiki hidup,” katanya. – Reuters

Berita Harian

Oscar: Benjamin, Slumdog Bersaing Hebat

January 28, 2009

Susunan Haswari Ali

Saingan sengit sedang berlaku terhadap filem The Curious Case of Benjamin Button dan Slumdog Millionaire pada Academy Awards atau Oscar 2009 yang berlangsung pada 22 Februari ini.

Masing-masing menerima pencalonan terbanyak iaitu The Curious Case of Benjamin Button dengan 13 pencalonan, manakala Slumdog Millionaire dengan 10 pencalonan.

Mungkin juga, tuah akan menyebelahi filem berbajet kecil, Slumdog Millionaire yang ternyata begitu menyinar pada penganjuran Anugerah Golden Globe, baru-baru ini apabila berjaya membolot 4 anugerah utama termasuk Filem Drama Terbaik.

Malah, filem yang dibintangi pelakon Bollywood seperti Anil Kapoor dan Dev Patel itu telah meningkatkan kedudukan sebagai pesaing utama untuk memenangi Oscar apabila meraih hadiah dalam SAG Awards, minggu lalu.

Bagaimana pula kekuatan The Curious Case of Benjamin Button yang menguasai carta pencalonan Oscar kali ini?

Menerusi pemerhatian sebelum ini, filem yang memperoleh pencalonan mempunyai peluang cerah muncul sebagai Filem Terbaik. Lihat saja Titanic. Tahun lalu, filem No Country for Old Men dijulang sebagai Filem Terbaik. 

Turut mendapat perhatian pada penganjuran Oscar kali ini ialah filem Milk dan The Dark Knight dengan 8 pencalonan, Doubt, The Reader dan Frost/ Nixon (5 pencalonan), manakala animasi Wall-E (6 pencalonan).

Oscar akan disiarkan secara langsung  dari Kodak Theater, Hollywood pada 22 Februari ini. Buat pertama kalinya ia akan dihoskan oleh aktor kacak kelahiran Australia, Hugh Jackman.

Berikut adalah senarai finalis Oscar 2009

Filem Terbaik
*The Curious Case of Benjamin Button
* Frost/Nixon
* Milk
* The Reader
* Slumdog Millionaire

Pengarah Terbaik
* David Fincher – The Curious Case of Benjamin Button
* Ron Howard – Frost/Nixon
* Gus van Sant – Milk
* Stephen Daldry – The Reader
* Danny Boyle – Slumdog Millionaire

Pelakon Wanita Pembantu Terbaik
* Amy Adams – Doubt
* Penelope Cruz – Vicky Cristina Barcelona
* Viola Davis – Doubt
* Taraji P Henson -The Curious Case of Benjamin Button
* Marisa Tomei – The Wrestler

Pelakon Wanita Terbaik
* Anne Hathaway – Rachel Getting Married
* Melissa Leo – Frozen River
* Kate Winslet – The Reader
* Angelina Jolie – Changeling
* Meryl Streep – Doubt

Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik
* Josh Brolin – Milk
* Robert Downey Jr – Tropic Thunder
* Heath Ledger – The Dark Knight
* Michael Shannon – Revolutionary Road
* Philip Seymour Hoffman – Doubt

Pelakon Lelaki Terbaik
* Richard Jenkins – The Visitor
* Frank Langella – Frost/Nixon
* Sean Penn – Milk
* Brad Pitt – The Curious Case of Benjamin Button
* Mickey Rourke – The Wrestler

Lakon Layar Asal Terbaik
* Frozen River
* Happy-Go-Lucky
* In Bruges
* Milk
* WALL-E

Lakon Layar Adaptasi Terbaik
* The Curious Case of Benjamin Button
* Doubt
* Frost/Nixon
* The Reader
* Slumdog Millionaire

Sinematografi Terbaik
* Tom Stern – Changeling
* Claudio Miranda – The Curious Case of Benjamin Button
* Wally Pfistern – The Dark Knight
* Chris Menges – Roger Deakins, The Reader
* Anthony Dod Mantle – Slumdog Millionaire

Rekaan Seni Terbaik
* James J Murakami, Gary Fettis – Changeling
* Donald Graham Burt, Victor J Zolfo – The Curious Case of Benjamin Button
* Nathan Crowley, Peter Lando – The Dark Knight
* Michael Carlin, Rebecca Alleway -The Duchess
* Kristi Zea, Debra Schutt – Revolutionary Road

Kesan Visual Terbaik
* Eric Barba, Steve Preeg, Burt Dalton, Craig Barronn – The Curious Case of Benjamin Button
* Nick Davis, Chris Corbould, Tim Webber, Paul Franklin – The Dark Knight
* John Nelson, Ben Snow, Dan Sudick, Shane Mahan -Iron Man

Editing Terbaik
* Kirk Baxter, Angus Wall – The Curious Case of Benjamin Button
* Lee Smith – The Dark Knight
* Mike Hill, Dan Hanley – Frost/Nixon
* Elliot Graham •῀”Milk
* Chris Dickens – Slumdog Millionaire

Rekaan Kostum Terbaik
* Catherine Martin – Australia
* Jacqueline West – The Curious Case of Benjamin Button
* Michael O’Connor – The Duchess
* Danny Glicker – Milk
* Albert Wolsky – Revolutionary Road

Solekan Terbaik
* Greg Cannom – The Curious Case of Benjamin Button
* John Caglione, Jr, Conor O’Sullivan – The Dark Knight
* Mike Elizalde, Thom Floutz – Hellboy II: The Golden Army

Filem Bahasa Asing Terbaik
* The Baader Meinhof Complex (Germany)
* The Class (France)
* Departures (Japan)
* Revanche (Austria)
* Waltz With Bashir (Israel)

Dokumentari Terbaik
* Ellen Kuras, Thavisouk Phrasavath – The Betrayal (Nerakhoon)
* Werner Herzog, Henry Kaiser – Encounters at the End of the World
* Scott Hamilton Kennedy – The Garden
* James Marsh, Simon Chinn – Man On Wire
* Tia Lessin, Carl Deal – Trouble the Water

Animasi Terbaik
* Bolt
* Kung Fu Panda
* WALL-E

Lagu Terbaik
* Down to Earth – WALL-E
* Jai Ho – Slumdog Millionaire
* O Saya – Slumdog Millionaire

Murai

Ledger Mengintai Oscar

January 27, 2009

HEATH LEDGER menang lagi! Mendiang pelakon watak The Joker menerusi filem The Dark Knight itu mengungguli Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik bagi kategori filem pada majlis Anugerah Screen Actors Guild (SAG) ke-15 yang berlangsung di Los Angeles kelmarin.

Ledger sebelum ini merangkul Anugerah Aktor Pembantu Pilihan pada majlis Anugerah Golden Globe ke-66 baru-baru ini.

Justeru, kemenangannya pada majlis anugerah yang khusus untuk meraikan bakat lakonan golongan pelakon filem dan televisyen itu menguatkan lagi potensi untuknya meraih Oscar pada tahun ini.


BOLLYWOOD menguasai Hollywood. Anil Kapoor (kanan) bersama tiga lagi pelakon filem Slumdog Millionaire yang diumumkan sebagai pemenang Anugerah Barisan Pelakon Filem Terbaik.

Mendiang Ledger meraih pencalonan Oscar menerusi Anugerah Academy ke-81 yang bakal berlangsung pada 22 Februari nanti, yang menyaksikan saingan paling sengit datang daripada aktor Philip Seymour Hoffman, bekas pemenang Oscar Aktor Terbaik yang kali ini tercalon menerusi filem Doubt.

Peluang Ledger untuk meraih kemenangan diperkuatkan lagi dengan fakta The Dark Knight turut meraih tujuh pencalonan Oscar dalam kategori lain.

Aktor Gary Oldman yang turut berlakon dalam The Dark Knight saat naik ke pentas mewakili Ledger untuk mengambil trofi dalam ucapannya berkata: “Saya penuh emosi saat ini.”

Tambahnya: “Saya berasa sangat bangga apabila diminta mewakili Heath Ledger untuk menerima anugerah ini. Dia seorang pemuda hebat yang memiliki bakat lakonan yang hebat, dan saya sangat terharu bakatnya itu dihargai malam ini.”

Laluan mencabar Kate Winslet

Namun begitu, Kate Winslet yang disebut-sebut sebagai calon pilihan ramai untuk meraih Oscar Aktres Terbaik bagaimanapun agak tercabar kredibilitinya.


GEMBIRA tidak terhingga. Barisan pelakon 30 Rock meraikan kemenangan mereka untuk Anugerah Barisan Pelakon Komedi Bersiri Terbaik.

Ini kerana SAG ke-15 menjulang aktres Meryl Streep untuk Anugerah Pelakon Wanita Filem Terbaik hasil lakonannya menerusi filem Doubt.

Sedangkan Winslet yang tercalon menerusi filem The Reader pula mennang Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Filem Terbaik.

Ironinya kedua-dua Streep dan Winslet menerusi filem tersebut masing-masing tercalon bagi merebut Oscar kategori aktres terbaik.

“Apa yang dapat saya katakan adalah tiada istilah aktres terbaik, tidak wujud apa yang dikatakan aktres terhebat pernah hidup di muka bumi ini,” ucapnya saat menjulang trofi kemenangannya.

Streep yang mencipta rekod sebagai pelakon paling banyak meraih pencalonan Oscar – sebanyak 15 kali – termasuk pencalonan pada tahun ini menyambung bicara: “Saya berbangga dengan hasil lakonan pelakon-pelakon wanita pada tahun ini, sama ada yang tercalon mahupun yang tidak tercalon.”

Penguasaan berterusan 30 Rock

Sementara itu, kategori TV pula menyaksikan penguasaan komedi bersiri popular,30 Rock.

Mengulangi kejayaan pada majlis Anugerah Golden Globe baru-baru ini, dua pelakon utama komedi bersiri itu, Alec Baldwin dan Tina Fey masing-masing mengungguli Anugerah Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Komedi Bersiri Terbaik.


TINA FEY dan Alec Baldwin mengulangi kejayaan mereka pada majlis Anugerah Golden Globe ke-66.

Lebih mengujakan ialah 30 Rock menyapu bersih kategori komedi bersiri apabila barisan pelakon 30 Rock diumumkan sebagai pemenang Anugerah Barisan Pelakon Komedi Bersiri Terbaik.

Pelakon utama siri House, Hugh Laurie dan Sally Field, bintang utama drama bersiri Brothers & Sisters pula masing-masing diumumkan sebagai pemenang Anugerah Pelakon Lelaki dan Wanita Drama Bersiri Terbaik.


INI pula lima pelakon Mad Men yang diumumkan sebagai pemenang Anugerah Barisan Pelakon Drama Bersiri Terbaik.

Barisan pelakon siri Mad Men merangkul Anugerah Barisan Pelakon Drama Bersiri Terbaik, sementara siri popular Heroes menang Anugerah Barisan Pelakon Lagak Ngeri Terbaik.

Sementara itu, pelakon veteran James Earl Jones diberi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat – YUSMAN AWANG

Kosmo