Susunan JESSABELL SOO
SETIAP adiwira mempunyai kelemahannya. John Hancock, adiwira terbaru lakonan Will Smith juga tidak terkecuali.
Dia membenci kerjanya dan sentiasa ditangkap kerana terbang di bawah pengaruh alkohol, biasanya selepas dia terlanggar bangunan ataupun benda lain.
Penuh konflik, sarkastik dan salah faham, Hancock mungkin mempunyai sisi wira yang berjaya menyelamatkan banyak nyawa. Namun, setiap aksinya pasti meninggalkan kerosakan.
Akhirnya, orang awam Los Angeles mula jemu dengan adiwira mereka ini dan berfikir sama ada mereka perlukan lelaki ini lagi.
Hancock pula bukan lelaki yang mengambil kisah apa yang yang difikirkan oleh orang lain sehinggalah dia menyelamatkan nyawa seorang eksekutif pegawai perhubungan, Ray Embrey (lakonan Jason Bateman).
Akhirnya, adiwira yang kebal cemuhan ini mula sedar bahawa dia juga mempunyai sisi yang boleh dilukai.
Kini dia berdepan dengan cabaran terbesar dalam hidupnya apabila dia perlu mengubah imejnya serta memulakan hubungan curang bersama isteri Ray, Mary (Charlize Theron).
Filem komedi ini pada asalnya ditulis oleh Vincent Ngo pada tahun 1996 dan ‘hilang’ skripnya hilang seketika di Hollywood.
Projek ini juga pernah dikaitkan dengan beberapa pengarah termasuk Tony Scott, Michael Mann, Jonathan Mostow dan Gabriele Muccino tetapi jatuh ke tangan Peter Berg.
Hancock pada mula dijadualkan untuk dirakamkan sebelum I Am Legend yang turut dibintangi Will Smith. Namun, disebabkan alasan tertentu, Hancock hanya akan menemui penonton bulan Julai nanti.
Bagi mendalami pengalaman dan ketahui sedikit sebanyak mengenai filem ini, ikuti petikan temu bual, Will Smith, 39, yang disediakan oleh Sony Pictures Releasing International.
Apakah idea di sebalik kreativiti adi wira bernama Hancock ini?
SMITH: Kami banyak menyelidik untuk mereka cipta adiwira ini. Kami melihatnya dari segi mitologi Greek dan mendapat idea untuk mencipta hero filem ini. Dia adalah lelaki yang biasa dengan pelbagai masalah. Dia juga tidak tidak mahu memakai kostum kerana tidak selesa. Dia hanya mahu memakai seluar pendek.
Ceritakan sedikit mengenai watak anda.
Hancock seorang lelaki yang baik tetapi dia suka menyelesaikan masalah dengan cara yang dikelaskan sebagai jahat. Dia mengambil minuman beralkohol. Jadi dia adalah adiwira yang ketagih alkohol.
Itu yang menjadikan dia bermasalah. Dia boleh terbang tetapi mabuk. Maka dia akan berlanggar dengan bangunan dan ramai orang tidak menyukainya. Namun, dia masih berusaha untuk keluar dan menyelamatkan orang.
Kuasa yang dimiliki Hancock?
Dia kalis peluru, kuat dan boleh terbang. Tetapi apabila anda menonton filem ini nanti, Hancock tidak tahu mengenai kuasanya sendiri. Dan semua kuasa itu akan didedahkan secara berperingkat dalam filem ini.
Pendapat anda terhadap pengarah, Peter Berg?
Peter suka merakamkan filem tanpa raptai. Dia suka menggunakan kamera tanpa tripod supaya semua orang boleh bergerak bebas dan mendapatkan saat-saat menarik dari sisi berlainan. Selain daripada itu, pemilihan pelakon dalam filem ini juga penting untuk menjayakan watak.
Bagaimana pula perasaan bekerja dengan Charlize Theron?
Apabila anda duduk berdepan dengan pemenang anugerah Oscar dan seorang aktres dramatik, anda akan cuba menyeimbang dengan tahap sempurna yang ada padanya. Kualiti yang ada pada Theron memadai filem ini.
TIGA pelakon penting Hancock, dari kiri, Jason Bateman, Charlize Theron dan Will Smith.
Dalam filem ini, watak lakonan Jason Bateman (Ray Embrey) adalah seorang pegawai perhubungan yang cuba menyelamatkan imej anda.
Apakah perasaan anda apabila seorang adiwira bertemu dengan seorang pegawai perhubungan?
Apa yang menyeronokkan mengenai kedua-dua watak ini adalah pertemuan ganjil di antara mereka. Jason amat berterima kasih kerana hidupnya diselamatkan oleh adiwira yang tidak dihargai.
Maka dia ingin mengembalikan imej adiwira itu supaya orang ramai boleh melihat diri hero itu sebenarnya. Itu adalah misinya. Ia sangat seronok kerana lelaki idealistik ini cuba untuk menyelamatkan hero yang ketagih arak dan tiada tempat tinggal.
Babak filem yang paling sukar?
Cuma satu bahagian yang sukar iaitu babak terbang. Mereka membina wayar untuk terbang dan ia sangat agresif. Dan ia memberikan perasaan seperti sedang terbang secara praktikal. Lagak aksi juga agak sukar tetapi saya berharap anda menyukai cara ‘terbang’ berlainan ini.
Bagaimana Hancock berlainan daripada adiwira filem lain?
Sebenarnya sudah tidak ada adiwira baru dalam masa 40 tahun ini. Spider-Man, Iron Man, Batman adalah superhero bapa kita. Jadi adalah sukar sebenarnya untuk mencipta adiwira. Tetapi saya yakin Hancock akan menjadi adiwira berjaya kerana ideanya berjauhan daripada adiwira yang asal.
Bilakah kali terakhir anda digelar The Fresh Prince?
Lima saat lalu (ketawa). 6 Julai 1996. Ia adalah hari Isnin selepas tayangan filem Independence Day dan semua panggilan Fresh Prince telah berhenti. Apabila jumlah kutipan untuk Independence Day keluar, tiba-tiba saya terdengar suara orang memanggil saya Mr. Smith.
Apa yang membuatkan lelaki bernilai lebih AS$20 juta hidup dalam suasana sederhana?
Kami menyukai kehidupan seperti manusia lain. Mengembara adalah penting untuk membolehkan anak kami melihat dunia luar dan menimba pengalaman baru. Kita semua adalah sebahagian daripada dunia ini dan bertanggungjawab untuk memberikan tenaga positif kepadanya.
Kosmo